Sekapur Sireh




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.


Terlebih dahulu pada kesempatan ini saya bagi pihak warga Sekolah Kebangsaan Padang Kubu (SKPK), barisan pendidik dan kakitangan serta murid-murid ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari laman blog sekolah ini.

Melalui laman blog ini, pengunjung yang  terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, iaitu PIBG, para ibu bapa, murid, bekas warga guru akan mengetahui maklumat sekolah  ini dengan lebih terperinci serta dapat berkongsi idea untuk memajukan sekolah ini secara holistik.

Sesungguhnya, sekolah ini bukan sahaja menuntut warga guru/stafnya menjana budaya kerja cemerlang tetapi bertekad menghasilkan murid-murid yang cemerlang dalam akademik, kompeten dalam bidang ko-kurikulum dan sahsiah agar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh yang demikian, saya sangat berharap semoga barisan pendidik di sekolah ini akan mempertingkat kegigihan dan bakti mulia untuk sentiasa menjana kecemerlangan sekolah ini ke mercu yang lebih gemilang. Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa barisan pendidik di sekolah ini berkemampuan menaburkan bakti untuk memperkasa lagi sekolah ini. Jadilah kita bagai aur dengan tebing dan berpegang teguhlah pada pesan orang-orang tua kita, bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat.

Di samping itu, saya juga berharap semoga murid-murid  dapat mempertingkat ketekunan dalam usaha menimba ilmu, terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan serta menjadikan diri insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Bak kata bijak pandai, Tiada yang berubah jika diri tidak merubah. Harapan saya semoga murid-murid mampu membudayakan ilmu bermula di sekolah ini sehinggalah mereka berkelana di dunia luar sana.

Sejajar dengan perkembangan ICT dan media baru masa kini, dengan kewujudan laman rasmi ini semoga dapat memberikan peluang kepada pelanggan sekolah khususnya kepada ibu bapa pelajar sekolah untuk mengenali dengan lebih dekat organisasi sekolah ini. Saya juga mengharapkan semua guru serta warga sekolah dapat memanfaatkan bahan dan maklumat yang terdapat dalan laman rasmi ini. Mudah-mudahan segala apa yang dirancang dapat diterjemahkan menjadi kenyataan.

Menjadi antara sekolah berprestasi tinggi dan bersifat global adalah matlamat kami di SKPK.  Harapan saya, mudah-mudahan SKPK akan terus berada dalam landasan kecemerlangan dan kegemilangan dan menjadi antara sekolah-sekolah elit terbaik dipersada pendidikan negara suatu hari nanti. 

Akhir kata, kepada semua pelawat yang budiman, anda dipelawa untuk menghantar sebarang cadangan dan informasi yang bernas bagi membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan pendidikan di sekolah ini dan juga kekemasan laman rasmi sekolah kami.

Terima kasih.

Jazakallah.

Kata-kata hikmat.
❝Kejayaan bukan hak milik orang yang pandai tetapi hak milik orang yang berusaha.❞



EN. ZAINAL SUBARI BIN ABU BAKAR.
GURU BESAR
SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG KUBU.

No comments:

Post a Comment